BORNEO SABAH ARAMAII

Tuesday 20 August 2013

DUN Luluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama 2013



KOTA KINABALU, 19 Ogos- Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama (2013) selepas dibahaskan pada peringkat jawatankuasa Isnin.

Rang Undang-undang itu memperuntukkan wang tambahan sebanyak RM943 juta kepada beberapa kementerian dan jabatan untuk membiayai perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan.

Antara Kementerian dan jabatan terbabit ialah Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat.

Turut menerima peruntukan itu ialah Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Pertanian, Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Jabatan Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan dan Jabatan Bendahari Negeri.

Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Jabatan Pengairan dan Saliran, Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Jabatan Perhutanan, pejabat daerah dan Pencaruman kepada Kumpulan Wang Berkanun turut menerima peruntukan tersebut.

Terdahulu, ketika membentangkan Rang Undang-undang itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata perbelanjaan tambahan itu penting bagi memastikan jentera pentadbiran bergerak lancar.

"Sebahagian besar daripada jumlah Anggaran Perbekalan Tambahan 2013 iaitu sebanyak RM740,224,670 tidak melibatkan aliran tunai tetapi diperlukan untuk mematuhi peraturan perakaunan.

"Jumlah tidak melibatkan aliran tunai ini termasuk jumlah bayaran dividen yang dilabur balik dalam Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) sebanyak RM225 juta, Sedco (RM144.42 juta), Sawit Kinabalu Sdn Bhd (RM74 juta), Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (RM57.2 juta) dan Warisan Harta Sabah Sdn Bhd sebanyak RM41.67 juta," katanya.

Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata pelarasan Akaun Pendahuluan Diri yang terlibat dalam kerja-kerja kecemasan bagi memulihkan kerosakan utiliti dan kemudahan-kemudahan infrastruktur seperti paip dan loji air, sistem pengairan dan saliran serta landasan keretapi sebanyak RM184.04 juta, juga tidak melibatkan aliran tunai.

"Ia juga tidak melibatkan aliran tunai untuk caruman kepada Kumpulan Wang Pusingan Pinjaman Perumahan - Borneo Housing Mortgage Finance Berhad (BHMF) sebanyak RM11.57 juta atas sebab tambahan jumlah kelayakan pinjaman perumahan Anggota Pentadbir dan kakitangan kerajaan dan pertambahan bilangan permohonan dan pelarasan Buku Akaun Bendahari Daerah Keningau sebanyak RM2.33 juta," katanya.

Musa berkata ini bermakna hanya RM202,764,760 sahaja yang melibatkan aliran wang tunai dalam Anggaran Perbekalan Tambahan Pertama 2013.BERNAMA

0 comments:

Post a Comment