BORNEO SABAH ARAMAII

Wednesday 7 August 2013

Bekalan Air Lebih Baik Bakal Dinikmati Penduduk Kuala Penyu,Menumbok-Pairin

 
KUALA PENYU, 6 Ogos- Sambutan Aidilfitri penduduk di kawasan Kuala Penyu dan Menumbok kini lebih bermakna apabila bekalan air dapat disalurkan ke seluruh kawasan berkenaan, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri Tan Sri Pairin Kitingan.

Beliau berkata, kerajaan melalui jabatan air sentiasa berusaha untuk membaiki dan menaik taraf bekalan air bersih ke kawasan yang memerlukan khususnya di luar bandar.

"Sejumlah RM47.7 juta telah diperuntukkan kerajaan bagi menampung projek bekalan air ini ke seluruh kawasan yang meliputi sepanjang 26.6 KM," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran pengepaman air ke daerah kecil Menumbok di sini, Selasa.

Pairin berkata, melalui sistem paip transmisi dari Limbawang ke stesen pam penggalak Tamu Kayul itu, ia mampu membekalkan air dan mengatasi masalah bekalan air terutamanya pada musim kemarau kepada penduduk di kawasan itu.

"Sejumlah sembilan juta liter air sehari mampu dibekalkan kepada 90 peratus penduduk setempat yang meliputi 3,600 buah rumah berbanding enam juta liter sehari sebelum ini," katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap anggota Parlimen Datuk Azizah Mohd Dun dan anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Penyu Limus Juri.

Menurut Pairin, projek tersebut akan menggantikan sistem paip lama yang tidak mampu menampung jumlah bekalan air ke setiap kawasan sehingga berlakunya saluran paip pecah.BERNAMA

0 comments:

Post a Comment