BORNEO SABAH ARAMAII

Wednesday 21 August 2013

Pemimpin Kemajuan Rakyat Perlu Sentiasa Turun Padang-Musa

 
KOTA KINABALU, 20 Ogos- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman meminta semua Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) yang baharu dilantik di negeri ini supaya sentiasa turun padang untuk mendengar masalah dan keperluan rakyat kerana kegagalan berbuat demikian akan mengundang kemarahan rakyat.

"Jangan malas melawat kampung atau mendekati rakyat, kerana inilah antara punca rakyat peringkat akar umbi marah kalau kita tidak melawat kawasan masing-masing," katanya.

Musa berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada seramai 48 orang PKR yang sebelum itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan beliau di Wisma Innoprise, Likas, dekat sini Selasa.

Turut hadir pada majlis angkat sumpah itu ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman, menteri-menteri dan pembantu-pembantu menteri.

""Oleh itu, adalah penting bagi semua PKR dan wakil rakyat sentiasa turun padang di kawasan mereka.

"Sekiranya kita tidak melawat di pelosok kampung, maka apa juga masalah yang timbul di kawasan itu, kita tidak akan tahu sehingga menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kita yang telah memberikan mandat dan kepercayaan kepada kita (pada pilihan raya umum yang lepas)," katanya.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata PKR merupakan mata dan telinga kepada kerajaan dan wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya hubungan baik antara PKR dan wakil rakyat bagi memastikan segala masalah dapat dibincangkan dan diselesaikan bersama.

Musa berkata jawatan PKR bukan satu keistimewaan tetapi diiringi dengan satu tanggungjawab besar.

"Tanggungjawab dan peranan PKR ini penting untuk bekerjasama memastikan apa juga program, projek pembangunan dan dasar-dasar kerajaan dapat disalurkan kepada rakyat di peringkat akar umbi supaya rakyat secara keseluruhannya mendapat manfaat daripadanya," katanya.

Beliau berkata kerajaan BN diberikan mandat oleh rakyat kerana mereka percaya kerajaan BN dapat membela nasib mereka.

"Mereka percaya kita boleh menjalankan tugas dengan baik dan membawa perubahan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Musa juga mahu semua pemimpin termasuk PKR sentiasa berwaspada terhadap apa sahaja anasir tidak bertanggungjwab yang cuba melemparkan pelbagai fitnah terhadap kerajaan BN dan wakil rakyat yang mewakili kawasan masing-masing.

"Adalah menjadi tanggungjawab PKR untuk menepis segala fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab agar rakyat tidak keliru dengan fakta-fakta yang diputarbelitkan," katanya.

Berikutan senario politik yang sudah berubah, Musa meminta semua PKR supaya meningkatkan pengetahuan tentang pengggunaan teknologi maklumat (ICT).

"Dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pelbagai saluran termasuk laman sosial seperti Facebook dan Twitter digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan rakyat dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan. Sebab itu, semua PKR perlu menguasai ICT," katanya.BERNAMA

0 comments:

Post a Comment