BORNEO SABAH ARAMAII

Tuesday 20 August 2013

Projek SOGT Perlukan Kemahiran Tinggi dan Pengalaman Global-Teo


KOTA KINABALU, 19 Ogos- Kemahiran teknologi yang tinggi dan pengalaman global diperlukan untuk pembangunan Projek Terminal Minyak dan Gas (SOGT), kata Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang.

Beliau berkata kekurangan dari segi keupayaan kewangan dan teknikal telah menyebabkan konsortium antarabangsa diperlukan untuk bekerjasama dengan kontraktor tempatan.

"Sehubungan itu bagi projek SOGT EPCC (kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan), Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) telah mewujudkan satu pasukan bersepadu dengan Konsortium Samsung Engineering dan Naim Engineering yang merupakan sebuah kontraktor Malaysia," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Likas, dekat sini Isnin.

Teo berkata SOGT EPCC terdiri daripada satu konsortium antara kontraktor antarabangsa yang terkenal dan merupakan kontraktor Malaysia sementara Samsung merupakan kontraktor antarabangsa yang mempunyai pengalaman global yang luas dalam pembangunan projek mega di seluruh dunia.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) mengenai peluang syarikat tempatan mendapatkan kontrak daripada SOGT di Kimanis, Papar dan Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang.

"Bagaimanapun, terdapat lebih kurang 50 syarikat tempatan yang telah menjadi subkontraktor bagi projek mega ini di mana kesemua syarikat tersebut berstatus Bumiputera.

Selain syarikat yang beroperasi secara sendirian, terdapat syarikat yang bekerjasama sebagai rakan kongsi dengan syarikat-syarikat dari luar, katanya.

Teo berkata kontraktor utama yang terlibat dalam SAMUR merupakan satu kombinasi antara kontraktor antarabangsa dan kontraktor Malaysia iaitu membabitkan Mitsubishi Corporations Industries Ltd (kontraktor Jepun), PT Rekayasan Industri (kontraktor Indonesia) dan Apex Energy Sdn Bhd dari Malaysia.

"Kombinasi kontraktor utama ini adalah strategik dan penting kerana kontraktor antarabangsa bukan sahaja mempunyai teknologi yang tinggi dan berpengalaman luas tetapi juga mempunyai keupayaan dari segi kewangan serta perhubungan kerjasama yang baik dengan kontraktor tempatan," katanya.

Beliau berkata sehingga kini lebih kurang 80 peratus daripada subkontraktor yang melaksanakan SAMUR merupakan syarikat-syarikat tempatan Sabah.BERNAMA

0 comments:

Post a Comment