KOTA KINABALU - Sabah akan muncul sebagai sebuah negeri yang mudah dijangkau menjelang 2025, kata Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri, Datuk Siringan Gubat. 
"Kami berharap akan sampai ke peringkat di mana perkhidmatan (sama ada swasta, awam atau yang berasaskan komuniti) dapat disalurkan dari mana-mana tempat, pada sebarang masa dan dengan apa jua cara," kata beliau.

Siringan berkata demikian dalam kenyataannya di majlis penyampaian sijil dan penutupan latihan tentang "Pengetahuan Asas mengenai Mobile Tablets with iOS and Android Platforms," di sini hari ini.
Beliau berkata ini tugas berat tetapi yakin kerajaan boleh mencapai matlamat ini dengan bekerjasama secara perkongsian pintar dengan badan bukan kerajaan (NGO), terutama Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (SWEPA).

Dalam hal ini, Siringan menyambut baik inisiatif SWEPA mengadakan kolaborasi dengan Persatuan Komputer Sabah dengan melibatkan anggotanya menceburi bidang ICT agar mereka kekal relevan dalam landskap teknologi hari ini yang sentiasa berkembang.

Beliau berkata usaha kedua-dua pihak itu secara tidak langsung membantu kerajaan negeri merapatkan jurang digital, dan meningkatkan kesedaran masyarakat serta menjadikan mereka mahir ICT. - Bernama