BORNEO SABAH ARAMAII

Monday 8 July 2013

Pentingnya meletakkan tanda harga

Peniaga di Sabah disaran mengutamakan penandaan harga kerana ia adalah maklumat penting kepada pengguna berkaitan sesuatu barang yang dipamer untuk jualan - Datuk Jainab Ahmad Ayid. (Borneo Insider)

Tinggal hanya beberapa hari saja lagi, umat Islam akan memulakan ibadah puasa dan sudah pastinya ramai peniaga akan berniaga menjual pelbagai juadah di bulan puasa. Di Sabah, minggu lepas sahaja Datuk Jainab telah memberi amaran kepada para peniaga supaya tidak menyorokkan barangan keperluan terutamanya keperluan seperti gula, tepung gandum, minyak masak dan sebagainya.

Selalunya, permintaan terhadap barang terkawal akan meningkat di masa bulan puasa dan akan ada segelintir peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang di pasaran dengan sesuka hati mereka.


Jadi, sangat bertepatan sekali saranan Datuk Jainab supaya peniaga yang berniaga meletakkan tanda harga sebagai panduan kepada pelanggan. Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sememangnya mewajibkan peniaga meletakkan tanda harga bagi setiap barangan yang dipamer. 

Dengan adanya tanda harga, pengguna akan dapat memastikan harga barang yang dipamer adalah mengikut harga yang telah ditetapkan oleh Kementerian ataupun tidak. Sekiranya peniaga meletakkan tanda harga yang tidak diluluskan oleh kerajaan maka pengguna boleh melaporkan perkara itu berserta bukti sekali. 

Datuk Jainab memberitahu bahawa tahun ini sahaja terdapat 550 kesalahan melibatkan isu harga dengan nilai rampasan RM152,631 barang di negara ini. Sememangnya tindakan undang-undang perlu dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan hal yang sama tidak berulang. Pengguna juga perlu memberi kerjasama dalam membendung hal ini untuk memastikan hak mereka terbela.

0 comments:

Post a Comment