BORNEO SABAH ARAMAII

Thursday, 13 September 2012

Jangan politikkan isu PATI - Musa

KOTA KINABALU 21 Ogos - Semua pihak diminta tidak mengambil kesempatan mempolitikkan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) hanya untuk kepentingan politik masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, semua pihak harus melihat komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan yang kini giat mengatasi masalah PATI secara berterusan.

"Kita begitu serius mengatasi masalah ini di mana kerajaan negeri dan Persekutuan bekerja rapat bagi mengatasi masalah ini.

"Ini yang kita lakukan selama ini dan kita tidak pernah mengambil ringan perkara-perkara berkenaan PATI," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Shopping Raya di pasar raya Giant di Kolombong di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Puteri UMNO Sabah, Musliati Moslimin.

Program anjuran Puteri UMNO dan Pusat Zakat Sabah itu diadakan serentak di seluruh negeri hari ini bagi menggembirakan anak-anak yatim sempena Aidilfitri.

Pada majlis itu, 80 anak yatim di daerah Kota Kinabalu, Sepanggar, Putatan dan Penampang diberi peluang membeli belah barangan keperluan masing-masing.

Semalam Ketua Pemuda Parti Liberal Demokratik, Chin Shu Yin menyatakan kebimbangan mengenai masalah PATI dan mendakwa terdapat lebih 800,000 warganegara asing di negeri ini.

Menurut Musa, meskipun memakan masa yang panjang, kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa komited mengatasi masalah PATI secara berterusan.

"Sebab itu baru-baru ini kita ada program 5P (Pendaftaran, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran) bagi mengatasi masalah ini dan pada masa yang sama kita minta semua majikan memastikan semua pekerja mereka berdaftar," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai program 5P beliau berkata, program berkenaan telah menunjukkan perkembangan positif menyaksikan ramai PATI telah mendaftar.

0 comments:

Post a Comment