CM marking Earth Day |
KOTA KINABALU, 18 Feb (Bernama) -- Malaysia menerima pujian dari komuniti antarabangsa kerana keputusannya untuk tidak menggunakan arang batu bagi menjana tenaga di Sabah, yang merupakan satu langkah memberikan opsyen kuasa bersih kepada negeri itu.
Ketua Pakar Teknikal Tenaga Diperbaharui dan Keefisienan Tenaga Bank Dunia Prof Daniel M Kammen berkata langkah itu membolehkan Malaysia memilih untuk melabur di dalam ekonomi dan persekitaran yang sihat bagi Sabah dengan membatalkan cadangan pembinaan loji yang menggunakan arang batu yang diganti dengan opsyen tenaga mampan.
"Ini merupakan satu keputusan yang sepatutnya memuji dan menyokong Malaysia pada persidangan iklim akan datang di Afrika Selatan.
"Saya sangat teruja dengan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan bagi kepimpinan mereka di dalam hala tuju negara dan negeri itu ke arah menghasilkan sumber tenaga campuran.
"Ini akan membantu menstabilkan kos tenaga, membawa masuk usahawan baharu ke bidang tenaga, mewujudkan pertumbuhan pekerjaan dan memotong kesan alam sekitar tempatan dan pertumbuhan pengeluaran gas rumah hijau global," katanya dalam satu kenyataan Jumaat.
Green SURF (Sabah Bersatu bagi menyediakan Kuasa Untuk Masa Depan) telah mentauliah Kammen untuk menyediakan laporan opsyen tenaga bagi Sabah sebagai seorang Profesor Tenaga di University of California di Berkeley.
"Kejayaan tenaga dan alam sekitar kebiasaannya tidak mendapat perhatian seperti yang diperolehi peristiwa negatif. Ini adalah satu kes di mana satu kerjasama mencetus kumpulan alam sekitar yang diketuai Green SURF bekerjasama dengan para pegawai yang dipilih mengadakan dialog dengan orang ramai dan menghasilkan bahan teknikal yang diperlukan seperti laporan opsyen tenaga yang kita kemukakan kepada pembuat keputusan.
"Saya teruja berupaya bekerja dengan rakyat Sabah bagi mencapai kejayaan ini dan berharap melihat komuniti antarbangsa mempelajari daripada kejayaan perancangan dan perkongsian Sabah ini," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas World Land Trust John Burton mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana membuat keputusan yang rasional yang memanfaatkan kesemua pihak.
"Adalah baik mereka mendengar pendapat orang ramai dan menunjukkan komitmen sebenar kepada alam sekitar," kata Burton.
Sambil memuji keputusan kerajaan itu, Penyelaras Seranta Asia Tenggara 350.org Malaysia Abe Woo berkata langkah itu membuka satu haluan baharu di dalam sejarah pergerakan alam sekitar dan pengurusan tenaga.
"Ini memberi isyarat kerajaan yang positif dan responsif kerana keseluruhan jaringan antarabangsa 350.org terus menyokong langkah berani kerajaan sekarang bagi memerangi perubahan iklim," kata Woo.
Pengarah Komunikasi 350.org Jamie Henn menyifatkannya sebagai satu "kejayaan yang dirasai di seluruh dunia."
350.org adalah satu pergerakan antarabangsa untuk menyatukan dunia bagi mencari penyelesaian terhadap krisis iklim.
Aktivis Alam Sekitar Roz Savage berkongsi keputusan kerajaan negeri itu melalui Twitter, sambil menyatakan bahawa beliau merasa berbesar hati dan bangga menjadi sebahagian daripada kempen meminta projek itu dibatalkan.
Savage adalah wanita pertama yang berdayung secara solo merentasi Lautan Pasifik dan dinamakan Pengembara National Geographic Tahun 2010.
Pelukis dan Pereka Projek "Postcards2PM" kelahiran Sabah Yee I-Lann, yang bertanggung jawab terhadap penghantaran ribuan pos kad yang ditandatangani yang telah dihantar kepada Najib, berkata pihak berkuasa, yang termasuk Tenaga Nasional Berhad dan Sabah Electricity Sdn Bhd, akan menggunakan kepakaran pakar alam sekitar bagi menyediakan penyelesaian yang baik.
"Saya berharap pihak berkuasa akan melindungi alam sekitar di kesemua projek pembangunan," katanya.
Green SURF turut menerima banyak reaksi di laman blognya, dengan para pembaca memberikan pujian kepada kerajaan serta kegembiraan mereka bahawa suara mereka telah didengari.
Pengumuman pada Rabu oleh Musa bahawa tiada loji arang batu akan dibina di Sabah sebagai satu kejutan yang manis, berikutan banyak bulan tidak kedengaran berita selepas kajian penilaian kesan alam sekitar terperinci bagi tapak di Lahat Datu ditolak pada Ogos tahun lepas.
Semasa membuat pengumuman baik itu, Musa berkata kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Najib adalah "kerajaan yang sentiasa mendengar suara dan perasaan rakyat."
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment