KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited
meneruskan amalan terbaik pengurusan dan pemuliharaan hutan di negeri
ini melalui kerjasama erat dengan rakan kongsi dalam Heart of Borneo
(HoB).
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, Heart of Borneo atau
Nadi Borneo bertujuan memelihara dan mengurus ekosistem rentas sempadan
membabitkan tiga negara Asean iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei
Darussalam meliputi kawasan kira-kira 22 juta hektar.
Beliau berkata, Borneo adalah pulau ketiga terbesar di dunia yang
kaya dengan biodiversity. Oleh itu saya berharap inisiatif HoB dapat
menyokong usaha pemuliharaan hutan di negeri ini.
“Pelaksanaan inisiatif ini mengambil kira sensitiviti dan budaya
tempatan dan berpegang teguh kepada dasar dan undang-undang sedia ada.
“Saya gembira melihat inisiatif HoB telah memupuk hubungan baik di
kalangan agensi kerajaan dan rakan kongsi seperti Tabung Hidupan Liar
Sedunia (WWF) Malaysia, Sime Darby Bhd, Majlis Minyak Sawit Malaysia, HSBC, New Forests Asia (Singapore) Pte.Ltd dan organisasi bukan kerajan seperti Land Environment Animal People (LEAP),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada majlis pelancaran
Persidangan Antarabangsa “Heart of Borneo+5 and Beyond: Shaping And
Nurturing Sabah’s Future Together”, di Magellan Sutera Resort, di sini,
kelmarin.
Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr.Yee Moh
Chai. Turut hadir bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Landskap
Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Pengerusi Landskap Malaysia, Tun
Jeanne Abdullah dan Pengarah Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan.
Musa berkata, sejak HoB dimulakan, banyak telah dicapai negeri ini. Di bawah Rancangan Malaysia ke-9 dan RMK-10,
Jabatan Perhutanan Sabah menerima dana melalui Kementerian Sumber Asli
dan Alam Sekitar untuk menjalankan dokumentasi biodiversiti di beberapa
hutan simpan terpilih dan asas kajian sosio komuniti setempat.
“Sehingga kini, 17 hutan simpan telah dikaji dan hasilnya diambil
kira dalam penyediaan pelan pengurusan hutan yang menyumbang dengan
ketara kepada amalan terbaik pengurusan hutan,” katanya.
Katanya, Kawasan Keseluruhan Terlindung (TPAS) di Sabah kini
meliputi 1.3 juta hektar atau kira-kira 20 peratus daripada jumlah
keseluruhan tanah di negeri ini, melebihi piawaian 10 peratus Kesatuan
Pelindungan Alam Semulajadi Antarabangsa (IUCN).
“Kawasan-kawasan yang dilindungi seperti Ulu Segama-Malay melibatkan
kira-kira 240,000 hektar hutan simpan untuk pelindungan Orang Utan,
kira-kira 150,000 hektar sebagai ekosistem hidupan liar, pemuliharaan
Lembah Kinabatangan dan Tanah Lembap Segama kira-kira 79,000 hektar dan
Trusmadi, Lembah Danum, Maliau Basin dan Imbak Kanyon,” katanya.
Selain itu katanya, di bawah HoB antara aktiviti utama berterusan
Jabatan Hutan ialah penambahbaikan dalam pemantauan dan penguatkuasaan
perlindungan hidupan liar, pembangunan infrastruktur dan peningkatan
keupayaan pendidikan alam sekitar.
“Kita telah mengklasifikasikan semula kira-kira 180,000 hektar
kawasan termasuk 54,000 hektar koridor hidupan liar menghubungkan Maliau
Basin dan Imbak Kanyon ke Lembah Danum dan Ulu Segama dan 130,000
hektar Hutan Simpan Ulu Segama sebagai Hutan Simpan Kelas 1, yang
dilindungi sepenuhnya,” katanya.
Musa berkata, dengan sokongan WWF Malaysia, kerajaan telah menggubal “Pelan Tindakan Strategik Sabah” pada 2009 yang mengandungi visi HoB.
“Program dan pelan tindakan itu termasuklah pengurusan sempadan,
kawasan perlindungan dan sumber asli dan pembangunan ekopelancongan,”
katanya.
Thursday, 8 November 2012
1.3 JUTA HEKTAR KAWASAN DI SABAH DILINDUNGI: KM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment