BORNEO SABAH ARAMAII

Monday 5 November 2012

Promosi adat dan budaya perlu dilakukan berterusan, kata Musa

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman berkata, usaha untuk memelihara dan mempromosikan keunikan adat dan budaya sesuatu kaum di negeri ini perlu dilakukan secara berterusan dan tidak terhad semasa musim perayaan sahaja. Beliau berkata ini kerana pesta atau karnival musim perayaan yang diadakan setiap tahun dapat mengukuhkan lagi perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini khususnya di Sabah. “Setiap kali berlangsung apa juga pesta atau karnival sempena musim perayaan, kita dapat melihat betapa kukuhnya semangat perpaduan, muhibah dan kekitaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara kita. “Ini dapat dilihat apabila rakyat dari semua lapisan masyarakat datang beramai-ramai untuk menyaksikan dan menjayakan program-program kebudayaan dan kesenian seperti Karnival Tahun Baru Cina ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika melancarkan Karnival Tahun Baru Cina, di Lintasan Deasoka, Jalan Gaya, di sini, malam Ahad. Karnival Tahun Baru Cina itu adalah anjuran bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api. Musa berkata, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan dan menyokong penuh apa juga usaha, inisiatif dan komitmen pelbagai pihak termasuk jabatan kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memupuk keharmonian sosial dan meningkatkan lagi semangat perpaduan di kalangan rakyat di negeri ini. Selain itu, katanya karnival seumpama ini juga memberi peluang terbaik kepada rakyat khususnya warga bandaraya membawa ahli keluarga menyaksikan program-program yang disediakan seterusnya mengenali kebudayaan dan adat masyarakat lain. “Saya difahamkan bahawa mengikut adat kebudayaan dan kepercayaan kaum Cina, tahun 2010 merupakan Tahun “Golden Tiger” yang dianggap “strong and powerful”. “Dipercayai juga bahawa Tiger tersebut “did not bring the wealthy water”. Oleh itu, tahun ini merupakan satu tahun yang sangat mencabar khususnya dalam aspek ekonomi dan sebagainya. “Walaupun demikian, kita berharap dengan usaha yang gigih, komitmen dan kerjasama kita semua, segala cabaran ataupun rintangan dapat diatasi dengan jayanya,” katanya. Musa berkata, langkah kerajaan memperkenalkan konsep Rumah Terbuka Malaysia setiap kali musim perayaan utama negara terbukti memberikan impak yang amat positif dari segi kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan sosial rakyat. Katanya, aspek ini amat penting kerana kestabilan politik dan sistem pentadbiran yang cekap, akan meningkatkan lagi keyakinan para pelabur untuk menanam modal dan meningkatkan ekonomi negeri, seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. “Dalam konteks ini, kita perlu bersama-sama menyedari bahawa kestabilan, keamanan dan keharmonian yang kita nikmati kini bukannya datang secara semula jadi dan sesuatu yang dicapai dengan mudah. Sebaliknya, ia adalah hasil pengorbanan dan sumbangan pelbagai pihak, kerajaan dan rakyat. “Justeru, amat penting ia dipelihara dan dikekalkan bagi memastikan kestabilan dan keamanan ini terus dipertahankan bagi kepentingan kita dan generasi akan datang,” katanya. Musa berkata, di samping memartabatkan kebudayaan masyarakat di negeri ini, gerai-gerai jualan yang diadakan juga memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk mempromosi barangan tempatan kepada pelancong asing dan seterusnya menjana pendapatan tambahan.

0 comments:

Post a Comment