BORNEO SABAH ARAMAII

Thursday 8 November 2012

1.3 JUTA HEKTAR KAWASAN DI SABAH DILINDUNGI: KM






 071112-lead-1



KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited meneruskan amalan terbaik pengurusan dan pemuliharaan hutan di negeri ini melalui kerjasama erat dengan rakan kongsi dalam Heart of Borneo (HoB).
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, Heart of Borneo atau Nadi Borneo bertujuan memelihara dan mengurus ekosistem rentas sempadan membabitkan tiga negara Asean iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam meliputi kawasan kira-kira 22 juta hektar.
Beliau berkata, Borneo adalah pulau ketiga terbesar di dunia yang kaya dengan biodiversity. Oleh itu saya berharap inisiatif HoB dapat menyokong usaha pemuliharaan hutan di negeri ini.
“Pelaksanaan inisiatif ini mengambil kira sensitiviti dan budaya tempatan dan berpegang teguh kepada dasar dan undang-undang sedia ada.
“Saya gembira melihat inisiatif HoB telah memupuk hubungan baik di kalangan agensi kerajaan dan rakan kongsi seperti Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Sime Darby Bhd, Majlis Minyak Sawit Malaysia, HSBC, New Forests Asia (Singapore) Pte.Ltd dan organisasi bukan kerajan seperti Land Environment Animal People (LEAP),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa “Heart of Borneo+5 and Beyond: Shaping And Nurturing Sabah’s Future Together”, di Magellan Sutera Resort, di sini, kelmarin.
Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr.Yee Moh Chai. Turut hadir bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Landskap Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah dan Pengarah Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan.
Musa berkata, sejak HoB dimulakan, banyak telah dicapai negeri ini. Di bawah Rancangan Malaysia ke-9 dan RMK-10, Jabatan Perhutanan Sabah menerima dana melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk menjalankan dokumentasi biodiversiti di beberapa hutan simpan terpilih dan asas kajian sosio komuniti setempat.
“Sehingga kini, 17 hutan simpan telah dikaji dan hasilnya diambil kira dalam penyediaan pelan pengurusan hutan yang menyumbang dengan ketara kepada amalan terbaik pengurusan hutan,” katanya.
Katanya, Kawasan Keseluruhan Terlindung (TPAS) di Sabah kini meliputi 1.3 juta hektar atau kira-kira 20 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah di negeri ini, melebihi piawaian 10 peratus Kesatuan Pelindungan Alam Semulajadi Antarabangsa (IUCN).
“Kawasan-kawasan yang dilindungi seperti Ulu Segama-Malay melibatkan kira-kira 240,000 hektar hutan simpan untuk pelindungan Orang Utan, kira-kira 150,000 hektar sebagai ekosistem hidupan liar, pemuliharaan Lembah Kinabatangan dan Tanah Lembap Segama kira-kira 79,000 hektar dan Trusmadi, Lembah Danum, Maliau Basin dan Imbak Kanyon,” katanya.
Selain itu katanya, di bawah HoB antara aktiviti utama berterusan Jabatan Hutan ialah penambahbaikan dalam pemantauan dan penguatkuasaan perlindungan hidupan liar, pembangunan infrastruktur dan peningkatan keupayaan pendidikan alam sekitar.
“Kita telah mengklasifikasikan semula kira-kira 180,000 hektar kawasan termasuk 54,000 hektar koridor hidupan liar menghubungkan Maliau Basin dan Imbak Kanyon ke Lembah Danum dan Ulu Segama dan 130,000 hektar Hutan Simpan Ulu Segama sebagai Hutan Simpan Kelas 1, yang dilindungi sepenuhnya,” katanya.
Musa berkata, dengan sokongan WWF Malaysia, kerajaan telah menggubal “Pelan Tindakan Strategik Sabah” pada 2009 yang mengandungi visi HoB.
“Program dan pelan tindakan itu termasuklah pengurusan sempadan, kawasan perlindungan dan sumber asli dan pembangunan ekopelancongan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment