BORNEO SABAH ARAMAII

Monday 26 August 2013

Peruntukan Dana RM660 Juta Ditawarkan Mosti

 
KOTA KINABALU: Sebanyak tujuh dana melibatkan peruntukan sebanyak RM660 juta ditawarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk projek berkaitan penyelidikan, pembangunan serta pengkomersilan (R, D & C).

Menterinya, Datuk Dr Ewon Ebin berkata dana berkenaan merangkumi dana sains, dana pra-komersilan, dana pembangunan dan penyelidikan pengkomersilan.

Sehubungan itu, pihaknya menggalakkan kepada mereka yang berminat khususnya di negeri Sabah dan Sarawak supaya mengambil peluang untuk memohon menyertai projek yang ditawarkan.

Ini kerana, beliau melihat kedua-dua negeri berkenaan mempunyai potensi tinggi dan kaya dengan sumber alam semulajadi bagi pelaksanaan projek R, D & C.

Walau bagaimanapun jelasnya, penyertaan dari Sabah dan Sarawak masih dianggap kecil berbanding negeri di Semenanjung.

“Dana yang ditawarkan ini adalah kesinambungan pembiayaan dana R, D & C di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) bagi pelan pusingan ketiga (2012/2013).

“Sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 1,168 projek diluluskan dengan melibatkan nilai sejumlah RM474.35 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sesi Dialog dan Taklimat Mengenai Dana Mosti peringkat Zon Sabah, di sini kelmarin.

Ewon berkata, mereka yang belum membuat permohonan pembiayaan diminta segera melakukannya kerana masih terdapat baki peruntukan yang belum diagihkan.

Katanya, keprihatinan kerajaan dalam menyediakan dana bagi menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi bertepatan dengan cabaran dan daya saing sekarang.

“Usaha ini bertepatan dalam era di mana negara di dunia saling bersaing untuk meningkatkan daya saing dan kadar pertumbuhan ekonomi masing-masing.

“Malaysia akan terpinggir sekiranya tidak berusaha meningkatkan daya saing negara di arena antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan sesi berkenaan turut diselitkan dengan sesi klinik permohonan dana bagi membantu bakal pemohon mengisi borang permohonan sebagaimana yang dikehendaki.

Ewon berkata, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah sesi dialog berkenaan buat kali kedua.

Katanya, sebanyak 16 projek yang dilaksanakan di Sabah dalam RMKe-10 dan 62 projek pada RMKe-9 turut mendapat kerjasama baik daripada UMS khususnya dalam industri marin, rumpai laut dan akuakultur.

Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan; Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Dr Rosli Mohamed, dan Naib Canselor, UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.Borneo Post


0 comments:

Post a Comment