BORNEO SABAH ARAMAII

Tuesday 26 November 2013

Program Klinik Bergerak manfaatkan 2,000 penduduk

TENOM: Perjalanan yang mencabar tidak mengahalang UMW dan Mercy Malaysia mengadakan program Klinik Bergerak di Kg. Kampung Abingkoi kira-kira 40 kilometer dari pekan Tenom pada pada Jumaat dan Sabtu.

Walaupun mengharungi laluan sukar jalan bekas pembalakan sejauh lebih kurang 18 kilometer dari simpang jalan Enubai rombongan yang menggunakan 12 buah kenderaan pacuan empat roda itu sedikit pun tidak patah semangat dengan cabaran-cabaran yang dilalui.

Setelah mengharungi jalan yang penuh dengan cabaran itu maka rombongan yang dianggotai oleh 28 sukarelawan dari MERCY Malaysia yang melibatkan doktor, jururawat dan sukarelawan yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama itu tiba di Kg. Abingkoi pada jam 5.00 petang pada Jumaat.

Dalam program itu lebih kurang 2,000 penduduk sasaran dari lima buah kampung iaitu Kg. Abingkoi dan sekitarnya seperti Kg. Pongolobon, Kg. Korolok, Kg. Ahuron dan Kg. Kandis dan beberapa kampung yang berhampiran menerima rawatan kesihatan percuma.

Program bersama UMW dan Mercy Malaysia yang merupakan kali kelapan dan terakhir pada tahun ini, diketuai oleh Dr. Anbarasu Ramalingam yang kini berkhidmat di Unit Kecemasan Hospital Likas Kota Kinabalu.

Bercakap kepada media semasa program itu, Dr Anbarasu berkata, perkhidmatan yang ditawarkan dalam program kesihatan masyarakat itu adalah pemeriksaan asas perubatan, pemeriksaan dan rawatan pergigian, pemeriksaan mata dan mendispens cermin mata membaca kepada warga tua, ceramah Kebersihan diri dan mendispens kit kebersihan kepada keluarga, Kesedaran Keselamatan, Kesedaran Kebakaran, Bantuan makanan dan sebagainya.

“Sepanjang program ini, saya mendapati bahawa terdapat keperluan untuk menyimpan bekalan ubat-ubatan di sini atau kawasan berdekatan, supaya penduduk kampung mampu mendapat bantuan yang diperlukan dalam kes kecemasan.

“Walaupun terdapat gesaan kepada Mercy untuk mendirikan klinik tetap di sini, malangnya dasar MERCY Malaysia adalah terhad kepada menganjurkan klinik bergerak seperti apa yang kita ada hari ini. Oleh itu terserahlah kepada kerajaan untuk memenuhi keperluan (pembinaan klinik tetap) itu” katanya.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Bahagian untuk UMW Akhbar Puteh berkata, program ini adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) perjanjian kerjasama dengan MERCY Malaysia.

Beliau berkata, peranan UMW dalam program ini ialah menyediakan kewangan, serta sokongan tenaga kerja tambahan yang melibatkan khidmat UMW kepada masyarakat melalui program kesihatan masyarakat MERCY Malaysia, dengan memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak.

“Oleh kerana akses yang terhad dan faktor-faktor sosio-ekonomi, ramai yang tinggal di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak mungkin jarang menerima penjagaan kesihatan profesional yang mereka perlukan.

Matlamat kami ialah untuk merapatkan jurang penjagaan kesihatan dan juga pendidikan di kalangan masyarakat yang memerlukan.

“Bagi Abingkoi dan kawasan sekitarnya, kami membawa perkhidamatan yang sama untuk penduduk di sini. Bagi saya secara peribadi, misi ini telah terbukti menjadi yang paling mencabar dari segi perjalanan kita untuk benar-benar sampai ke tempat ini, walaupun ia hanya terletak kira-kira 40 kilometer dari pekan Tenom.

“Bagaimanapun, kita gembira kerana objektif kita telah tercapai melalui program ini dan kehadiran kita di sini hari sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dan juga membawa keceriaan sedikit kepada penduduk di kawasan ini” katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pongolobon, Abingkoi, Korolok, Ahuron, Kemabong, Tenom (PAKAT) Rainus Sagalau 42, yang mewakili penduduk berkata, bantuan perubatan jarang dilihat oleh penduduk kampung dan kebanyakan mereka masih bergantung kepada ubat tradisional untuk merawat penyakit yang dialami.

Beliau berkata, terdapat juga perkara yang buruk berlaku di kampung ini di mana orang sakit dan ibu sarat mengandung, meninggal dunia dalam semasa perjalanan ke Hospital Tenom pada suatu ketika dahulu.

Katanya, terdapat juga perkhidmatan Klinik Bergerak dan Doktor Udara di kawasan terpencil ini tetapi jadualnya sering tertunda-tunda disebabkan jalan perhubungan darat yang tidak mengizinkan dan cuaca yang tidak menentu bagi perkhidmatan doktor udara, selain faktor lokasi kampung-kampung di kawasan ini yang berselerak dan berjauhan.

Dalam masa yang sama Rainus menghargai keprihatinan UMW dan MERCY Malaysia yang membawa perkhidmatan rawatan dan perubatan percuma kepada penduduk di lima di kawasan ini.

Sambil itu beliau meminta UMW dan MERCY Malaysia meneruskan program seumpama ini pada masa-masa akan datang.

Sementara itu, seorang penduduk Sigoh Luing 41, yang mendapatkan rawatan pergigian, berkata, dia berterima kasih kepada UMW dan MERCY Malaysia yang mengadakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk yang tinggal di kampung terpencil dan sekali gus meringankan beban perbelanjaan untuk mendapatkan rawatan pergigian di klinik swasta yang memerlukan kos yang tinggi.

“Tidak kurang penduduk di sini yang bergantung dengan rawatan gigi tradisional seperti menggunakan akar dan daun kayu yang diketahui sebagai perubatan tradisional untuk merawat sakit gigi” katanya.

Dengan adanya program Klinik Bergerak Mercy Malaysia jelasnya, ramai penduduk yang mengalami masalah gigi mendapat rawatan melalui cabut gigi yang selama ini menyiska penduduk yang sering sakit gigi.

Seorang lagi penduduk Asu Intong 70, yang terpaksa berjalan kaki lebih kurang dua jam dari Kg. Korolok ke pusat program berkata, perjalanan beliau tidak sia-sia kerana beliau mendapat manfaat bukan sahaja dengan pemeriksaan kesihatan secara percuma tetapi dibekalkan dengan ubat-ubatan yang bersesuaian yang sukar diperolehi kerana jarak kampung ke Hospital sangat jauh dan ditamabah dengan jalan yang sukar dilalui kenderaan.

Bagi Gilar Kalur 52, program UMW dan MERCY Malaysia memberi peluang kepada penduduk kampung untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan perubatan yang betul.

Ini katanya, kerana pemeriksaan kesihatan yang dibuat dalam program ini yang dijalankan oleh doktor-doktor yang berkhidmat sebagai sukarela adalah menyeluruh termasuk pemeriksaan mata dan gigi.

New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment